GIGIH: Muratovic mengejar bola ketika menjalani  latihan bersama-sama skuad Sarawak di Stadium Sarawak, petang semalam. 
 | 
Penyerang import Croatia itu mungkin diturunkan menentang Perak malam  esok
KUCHING: Hasrat penyerang import baru Sarawak, Vedran Muratovic, 28, untuk beraksi buat pertama kalinya dalam Liga Malaysia hanya akan tercapai sebaik sahaja Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari kelab asalnya dapat diperolehi hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata  pihaknya masih menunggu ITC Muratovic untuk membolehkannya beraksi menentang  Perak malam esok (Rabu).
Menurut Sudarsono, FAS telah pun meleraikan ikatannya dengan pemain import  Cameroon, Kalle Sone kerana pemain terbabit dilanda kecederaan serius dan tidak  dapat beraksi.
“Kita (pihak pengurusan FAS) telah membuat keputusan untuk menambat Muratovic  dengan menawarkan kontrak yang singkat untuk memberi peluang kepada pemain  import itu beraksi bersama Sarawak,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di  sini semalam.
Sudarsono berkata jika ITC Muratovic diperolehi hari ini (Selasa) maka  peluang untuk kita melihat penampilan sulung kelibat penyerang import baru itu  dapat disaksikan pada pertemuan Sarawak dan Perak di Stadium Ipoh, Perak malam  esok.
“Kita berharap beliau (Muratovic) dapat diturunkan pada malam esok di  gelanggang lawan dan beraksi di tempat sendiri (Stadium Negeri) Sabtu ini,” kata  Sudarsono sambil berharap ITC Muratovic dapat diperolehi segera.
Sudarsono menarik perhatian bahawa penyerang import baru itu telah  menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam sesi latihan bersama-sama  rakan seperjuangan yang lain.
Justeru, beliau percaya Muratovic dapat segera menyesuaikan diri dengan  pemain-pemain lain dan mampu memberikan persembahan terbaik malam esok.
“Walaupun kita belum melihat aksi sebenarnya, saya yakin beliau (Muratovic)  mampu membuktikan keupayaannya bagi menguatkan jentera serangan kita,” katanya.
Pasukan Sarawak mengadakan latihan di Stadium Sarawak, petang semalam setelah  bercuti dua hari sempena Maulidur Rasul dan mereka akan berangkat ke Ipoh, pagi  ini.
Sehubungan itu, pihak FAS berharap mereka yang ada menjumpai dokumen dua  pemain import Sarawak iaitu Guy Bwele dan Muratovic di pantai Pasir Pandak, Ahad  lalu agar mengembalikan kepada pemain-pemain terbabit.
Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata dokumen peribadi kedua-dua  pemain import Sarawak itu tercicir ketika mereka mandi ‘berkelah’ di pantai  terbabit kelmarin (Ahad).
“Kita berharap orang ramai yang menjumpai dokumen kedua-dua pemain import  berkenaan boleh menghantar kepada pihak FAS atau menghubungi saya sendiri di  talian 013-8337667,” katanya.
Source: Borneo Post




0 comments:
Post a Comment