KUCHING: Verdan Muratovic, penyerang berusia 28 tahun dari Croatia yang telah menjalani sesi ujian sejak 19 Januari lepas berpeluang cerah akan disenaraikan bersama skuad Ngap Sayot.
Jurulatih Robert Alberts berkata, pengambilan Verdan telah dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan kini hanya menunggu restu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Beliau (Verdan) berpeluang cerah bermain bersama Sarawak.
“Pihak pengurusan FAS akan mengemukakan pengambilannya kepada FAM,” katanya yang ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini semalam.
Verdan yang pernah beraksi dalam Liga Perancis tiba di sini pada Rabu lalu dan telah diuji pada sesi latihan untuk menggantikan penyerang import dari Cameroon, Kalle Sone yang dirundung kecederaan.
“Kalle mempunyai kebijaksanaan ketika melakukan serangan manakala Verdan seorang pemain yang lincah,” kata Robert yang menyatakan perbandingan kemampuan kedua-dua penyerang import tersebut.
Menyentuh kekalahan skuadnya pada perlawanan menentang Sabah dan Terengganu yang lepas, Robert berkata, jentera serangan yang tumpul adalah antara faktornya dan khidmat penyerang import adalah begitu penting.
“Gol Sabah dan Terengganu masing-masing dijaringkan oleh penyerang import… itulah kelebihan mereka.
“Bukan kita tidak mempunyai penyerang tempatan yang baik tetapi dengan adanya penyerang import yang berkebolehan, mereka akan menjadi inspirasi kepada jentera serangan,” kata jurulatih dari Belanda itu.
Skuad negeri telah mengharungi empat perlawanan dengan memenangi perlawanan sulung menentang Kuala Lumpur, seri kepada Selangor baru-baru ini dan tewas kepada Sabah dan Terengganu.
Sabtu ini (28 Januari), anak-anak buah Robert akan bermain di laman sendiri menentang peneraju Liga Super, Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment