Friday, March 2, 2012

History Channel: Kurniawan Dwi Yulianto @ Pak Kurus

KURNIAWAN Dwi Yulianto – pemain yang pernah diintai Perak serta beberapa pasukan lain, sah menjadi milik skuad Sarawak selepas pemain yang beraksi bersama Persija Jakarta di Divisi Utama Liga Indonesia itu menandatangani kontrak semusim dengan ‘Bujang Senang’.
Pemain antarabangsa Indonesia pertama bermain dengan pasukan Sarawak

Selain Perak, pasukan lain seperti Negeri Sembilan dan Telekom Melaka juga pernah dikaitkan dengan penyerang berusia 29 tahun itu. Kurniawan adalah antara pemain yang memusnahkan harapan Malaysia untuk melangkah ke Piala Tiger musim ini apabila membantu Indonesia membenam Malaysia 4-1 di Stadium Bukit Jalil, 3 Januari lalu.

Kehadiran Kurniawan di dalam senarai skuad Bujang Senang disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman yang bagaimanapun enggan menjelaskan yuran yang dibayar FAS untuk mendapatkan pemain itu.

“Saya tidak berada di majlis menandatangani kontrak di antara Kurniawan dan FAS dan saya tidak tahu mengenai yuran yang dibayar oleh FAS. Tetapi, pemain itu akan tiba di Kuching esok (hari ini),” katanya.

Selain Kurniawan, Bujang Senang turut mengikat bekas pemain kebangsaan Afrika Selatan, Junaid Hartley dan pemain tengah yang pernah beraksi bersama kelab RC Lens di Perancis itu dijangka tiba ke Bumi Kenyalang sedikit hari lagi.

“Hartley menandatangani kontrak dengan FAS Isnin lalu dan dia berlepas pulang ke Afrika Selatan semalam kerana mahu menguruskan perkara peribadi. Sebaik selesai, dia akan datang ke Kuching.

“Kedua-dua pemain itu dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Johor di Kuching pada 18 Disember ini,” katanya.

Dengan kehadiran kedua-dua pemain itu, Sarawak kini kian bernafsu untuk menggenggam gelaran Liga Perdana 2005/06 dan mahu pasukan itu beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

“Kalau boleh kami mahu mencapai apa saja gelaran yang boleh pada musim ini. Kita sudah ada pemain yang bagus dan bagi Hartley, FAS sudah lama mengidam untuk mendapatkan pemain itu,” katanya.

Ditanya rahsia yang digunakan FAS sekali gus berjaya memikat Kurniawan sedangkan khidmat pemain itu turut ditagih pasukan lain, beliau berkata: “Mungkin dia (Kurniawan) terpikat dan mahu bermain mewakili Sarawak.”

Pada saingan Liga Super 2005/06, Sarawak menghuni Kumpulan A bersama-sama Kelantan, Johor, Brunei, Terengganu, Kedah, Perak UPB dan NTFA. Pada perlawanan pembukaan 4 Disember lalu, Sarawak menewaskan Kedah 4-2 menerusi jaringan Ramos Sari (dua gol), Ivan Ziga dan Mohd Safee Sali.

0 comments:

Post a Comment

Followers

Sponsored Link