Friday, February 17, 2012

‘FAM panas’



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam ‘panas’ dengan laporan akhbar Straits Times Singapura yang mengaitkan pembabitan segelintir pegawai badan induk bola sepak tanah air itu dengan gejala mengatur perlawanan.

Laporan berita dari negara jiran itu memetik kenyataan terbaru Ketua Keselamatan Fifa, Chris Eaton sebagai berkata, skandal itu bukan hanya membabitkan pemain dan jurulatih, malah pegawai FAM sendiri.

Bagaimanapun FAM dalam kenyataan media yang dihantar semalam menuntut penjelasan lanjut daripada Eaton mengenai kenyataannya itu.
“FAM kesal dengan laporan yang disiarkan akhbar Straits Times Singapura yang membayangkan pegawai persatuan ini terbabit dalam gejala mengatur perlawanan.

“Laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan Ketua Keselamatan Fifa, Chris Eaton. Sehubungan itu, FAM sudah menghantar surat kepada Chris Eaton meminta beliau menjelaskan secara terperinci maksud kenyataan itu dan mengemukakan bukti jika mengesyaki pembabitan pegawai FAM dengan gejala ini.” Laporan akhbar itu secara tidak langsung mengundang persepsi buruk terhadap FAM yang kini bertungkus lumus mencari jalan memerangi gejala rasuah bola sepak yang menular berikutan beberapa kes baru-baru ini membabitkan pasukan Liga Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Azzuddin yang diminta mengulas perkara itu berkata: “Eaton tidak sepatutnya membuat dakwaan sedemikian kerana apabila beliau menyebut pegawai FAM, ia merangkumi semua peringkat. Sekarang kami menunggu jawapan balas Eaton.” Menerusi laporan online Straits Times yang bertajuk ‘At least 2 LionsXII matches under graft probe’ (Sekurang-kurangnya dua perlawanan Lions XII disiasat) menyatakan pemain dan pegawai pasukan itu tidak disyaki terbabit namun difahamkan kemenangan LionsXII ke atas Sabah (21 Januari) dan Negeri Sembilan minggu lalu dipantau FAM dan Fifa.
Namun Azzuddin menafikan pasukan tunggal dari Singapura beraksi dalam Liga-M musim ini adalah antara tiga pasukan yang kini disiasat FAM dan pihak berkuasa.

“LionsXII bukan antara tiga pasukan yang disiasat dan pegawai Fifa yang menghadiri mesyuarat khas FAM sebelum ini juga tidak pernah menyebut kes membabitkan pasukan itu,” katanya.
Gejala rasuah kembali menghimpit arena bola sepak tanah air apabila 11 pemain dan seorang bekas jurulatih pasukan Piala Presiden digantung oleh FAM, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM, Tan Sri Aseh Che Mat pula baru-baru ini mendedahkan tiga pasukan ‘senior’ Liga-M disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dengan gejala mengatur perlawanan.

0 comments:

Post a Comment

Followers

Sponsored Link